Jodoh: Mencari atau Menunggu [copy-paste]


Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, "Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.

Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir (Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk, semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

Usaha yang sebenarnya

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

Jika redha Allah yang dicari...

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

rujukan: http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1726-jodoh-mencari-atau-menunggu.html (3 Ogos 2011)

Istiqamahlah wahai diri



Subhanallah.. hari ni Allah mengizinkan aku untuk berjumpa dengan satu ayat yang sangat best!


Surah At-Tahrim:8

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (nasuha), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai , pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengannya; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."


Bayangkanlah, betapa pengasih dan penyayangnya Allah kepada kita.. Subhanallah.. Walaupun setelah diri kita penuh dengan noda-noda dosa, dan apabila datangnya rasa ingin kembali kepada Allah, ingin bertaubat kepada Allah, Allah katakan kepada kita, bertaubatlah, nescaya Allah akan menghapuskan kesalahan2 kita tu.. Bahkan bukan itu sahaja, Dia akan memasukkan kita ke dalam syurga-syurga yang dibawahnya ada sungai2, syurga2 yang indah, aduh, tak dapat dibayangkan indahnya bagaimana!


Sebagai contohnya, dalam hidup seharian kita, rasa2nya ada tak jumpa orang sebegini? Kita selalu buat dia marah, kita banyak buat kejahatan kepada dia, banyak menyakiti dia, tapi akhirnya orang itu dengan mudahnya memaafkan kita. Mungkin ada, tapi, inikan pulak dia bukan sahaja memaafkan kita, malahan menawarkan benda yang paling berharga kepada kita.. benda yang paling dia sayang.. ada tak? Mungkin dalam drama2 sinetron, drama2 korea watak seperti itu ada, tapi kalau realitinya, sangat sedikit sekali..


Lihatlah bagaimana caranya Allah memujuk hamba2nya, bagaimana Allah membelai hati hamba2nya yang tengah gelisah, tengah resah dengan penyesalan dosa2 lampau, dan hati hambanya itu berkira2, "adakah Tuhanku mahu menerima diriku lagi? Aku sudah dipalit dosa2 semalam.. aku penuh jijik dengan dosa2 semalam.. banyaknya dosa2ku kepadaMu, rasa tidak layak sahaja untuk menerima pengampunanMu.."


Jangan, jangan begitu sahabatku.. jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah, jangan sesekali berputus asa dengan kasih sayang Allah.. cuba lihat balik ayat2 cinta dari Allah di atas.. sweet kan Allah? Alhamdulillah, Allah telah memberi hidayah kepada kita untuk kembali kepadaNya.. kadang kala, melalui kesusahan yang dialami dalam hidup kita itulah jadi batu pemula untuk kita kembali kepada Allah. Memang tak dapat dinafikan, ketika waktu kita dalam kesusahanlah barulah kita nak ingat kembali kepada Allah.. ketika itu barulah merintih2 meminta doa kepada Allah semoga dipermudahkan urusan.. teringat pulak lirik nasyid kumpulan mestica, rahmat ujian.. betul tak?


Maka, bermulalah niat dan tekad untuk mengubah diri menjadi hamba Allah yang soleh.. Jangan hanya niat sahaja, tapi tak buat.. Perbaikilah dirimu dan ajaklah kawan2mu dan orang disekelilingmu yang lain. Tak perlu nak difikirkan, "apalah yang telah ditakdirkan untuk diri saya?" Selalu termenung di sana sini.. Kalau berharap kepada syurga, buatlah amalan syurga..


Istiqamah, tsabat.. tak semudah kata.. tak semudah bicara.. Sangat2 perlu kita sentiasa berusaha dan berdoa.. Kita kenalah sentiasa pastikan diri kita beramal, tidak mengulangi dosa2 kita yang lampau, dan mengajak orang lain sekali untuk sama2 beramal dengan kita.. Kita hendaklah sentiasa istiqamah dan tsabat di jalan ini , kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.. tiada tarikh, tiada masa yang kita ketahui bila kita akan mati.. na’uzubillaihi min zalik jika ketika nyawa kita ditarik, jika kita menghadapi sakaratul maut ketika kita tengah membuat maksiat kepada Allah, ketika kita membuat dosa kepada Allah.. sebagai peringatan untuk diri dan sahabat2 yang lain..

Dahsyatnya hidayah


Buku ini, aku baru sahaja selesai baca bab satu.. Bab satu sahaja sudah menggetarkan hatiku.. Apalagi bab yang seterusnya.. Hari tu aku berkira2 buku yang mana satu aku mahu berikan pada adikku yang seorang ini.. Aku akui sepatutnya, buku ini kuberikan padamu.. Walaupun kita berjumpa seketika cuma, aku dapat merasakan kehangatannya.. Namun, banyak lagi hak2mu yang akak belum tunaikan.. Hak tarbiyahmu.. hak itu, hak ini.. Aduhai sal, janganlah merintih2.. Bangunlah, bangkitlah.. Aturkan urusanmu, aturkan langkahmu, berlari kencanglah seperti kuda perang di medan perang sehinggakan bunga-bunga api terpercik di celah2 kuku kakinya..

Ukhuwwah fillah itu indah


Hadis pertama:

"Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga kamu saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mau aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu. " (Riwayat Muslim)

Cuba kita reflect balik diri kita, dalam sehari, berapa kali kita beri salam pada saudara seislam kita yang kita jumpa? boleh dibilang dengan jari.. semasa sekolah, sudah menjadi kebiasaan seorang anak murid memberi salam kepada gurunya, di universiti pula, pelajar memberi salam kepada pensyarahnya.. tetapi, adakah salam itu hanya pada orang2 tertentu sahaja? dikriminasilah macam tu.. sehinggakan apabila terjumpa orang yang memberi salam, terasa janggal pula.. malahan kadang kala salam itu dipermainkan pula, "hai ustazah, assalamualaikum.. tak jawab salam, berdosa.." lepas tu ketawa terkikih2 pula si jejaka miang tu..

Hadis kedua:

"Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia"

Hati kita adalah satu.. kita semua umpama sebuah kereta, kalau satu tayar takde, maka tak jadilah kereta, dan tak dapat nak menjalankan fungsinya.. ukhuwwah fillah itu memang indah..

Kapas


Subhanallah.. Hanya hati yang basah yang dapat membasahkan hati yang lain.. Analoginya seperti kapas. Hanya kapas yang basah yang dapat membasahkan kapas yang lain.. Aku sungguh cemburu dengan mereka yang dapat menitiskan air mata ketika solat, ketika berdoa, ketika membaca al-quran dek kerana begitu memahami setiap apa yang dilafaz dan dibaca.

Alhamdulillah ya Allah, aku sungguh terharu, dan tak tahu lagi nak express macam mana, sehinggakan air mataku menitis laju ketika membaca tafsir zilal surah al-qalam tadi. Rupanya ketika peristiwa penghijrahan rasulullah ke madinah, saidina Ali karamallahu wajhahu menangguhkan hijrahnya beberapa hari selepas pemergian Rasulullah saw adalah untuk memulangkan barang-barang amanah kaumnya yang disimpan di sisi Rasulullah saw.. Bayangkan, Rasulullah diejek, dimaki, dituduh sebagai gila, sedangkan sebelum ini kaumnya itulah yang melantik baginda sebagai hakim untuk mengadili perbalahan mereka dalam meletakkan hajarul aswad, kemudian baginda digelar al-amin dek kerana sifat amanahnya, bahkan sentiasa diamanahkan untuk menjaga barang-barang mereka walaupun baginda dimusuhi oleh kaumnya. Dan manusia semulia inilah yang mereka rancang untuk bunuh.. Begitu tidak masuknya akal dengan tuduhan2 dan tindakan mereka terhadap Rasulullah. Perasaan dendam kesumatlah yang telah membuta tulikan hati mereka..


Wahai sahabat


Astaghfirullah, alhamdulillah, allahu akbar..
Bersyukurku padaMu ya Allah
Kau telah tunjukkanku jalan pencerahan ini..
Jalan yang membebaskan aku daripada sifat dengki,
Yang membebaskan aku daripada rasa gelisah tak tentu arah
Yang membebaskan aku dari rasa tamak dan kecewa yang berlebihan

Kerana aku dahulunya
Adalah seorang nak sahaja menang dalam apa yang aku impikan
Adalah seorang yang jarang bertolak ansur dengan orang lain
Adalah seorang yang suka memencilkan diri daripada khayalak ramai (privacylah konon)
Adalah seorang yang selalu gelisah melampau2
Apabila tiada kekasih di sisi
Apabila keputusan dalam kehidupan tak seperti yang diimpi
Apabila kerja yang besar belum lagi dicapai
Apabila duit yang banyak belum lagi diperoleh
Akan menyebabkan aku banyak berfikir
Sampai kepala pun pening dan sakit
Yang akhirnya menyebabkan aku migrain

Sedihnya aku
Apabila berjumpa dengan sahabat lama
Yang pemikirannya
Seolah2nya, kerja yang best itu adalah matlamat hidupnya
Katanya, kalau boleh nak kerja yang dapat banyak duit
So, bolehlah rileks2 bila dah tua nanti

Malunya aku
Aku seolah2 melihat diriku yang dulu
Itulah pemikiranku yang dahulu
Mahukan kerja yang gah, hebat
Untuk kepuasan hidup
Berkiblatkan duit, kerja dan perkahwinan
Tapi selepas itu tak tahu nak buat apa
Tujuan hidup kita sekadar itu sahajakah?

Seorang sahabat yang hebat disebut2
Hebat dalam pelajaran, semestinya
Semua kagum dengannya
Yang selalu menjadi sainganku sejak sekolah lagi
Namun, aku kerap kali ditinggalkan di belakang
Diriku selalu dibandingkan dengan dirinya
Yang menyebabkan aku rasa tak puas hati
Dan terkial2 nak cari kelebihanku yang lain
Agar aku juga dipandang tinggi

Namun, setelah mendapat pencerahan
Aku mendapat tahu
Dahulunya aku leka bermain lumpur jahiliyyah
Betapa jahilnya aku dulu
Kurang sekali aku bersyukur padaMu
Aku sering kali lupa
Bahawa betapa adilnya Allah
Allah tidak melihat pada kepandaian
Allah tidak melihat pada kecantikan
Allah tidak melihat pada kekayaan
Allah tidak melihat pada jawatan2 yang best
Tapi, Allah lebih melihat pada amal dan taqwa kamu

Sayangnya aku
Pada sahabatku itu
Aku mahu menolong dia
Aku mahu mengkhabarkan pada dia
Bahawa ada benda best yang aku nak kongsi
Suatu perdagangan yang kamu takkan rugi (surah as-saff:10)

Aku mahu khabarkan
Bahawa kelebihan yang Allah beri itu
Adalah bukan untuk kepentingan diri sahaja
Tetapi alangkah indahnya
Kalau digunakan untuk kebaikan orang lain
Digunakan untuk ummah, untuk Islam

Sedarlah wahai sahabatku
Janganlah sempitkan pemikiranmu
Kita ada tugas besar yang kita kena buat
Allah tak menjadikan kita main-main (surah al-mu'minun: 115)
Allah tak menjadikan kita sia-sia
Ada amanah besar yang sepatutnya kita laksanakan

Mesin vs Manusia

Baru-baru ini benar2 menguji kesabaranku apabila berurusan dengan mesin. Sekejap elok, sekejap lagi rosak. Menyebabkan kerja lambat siap dan ½ jam lambat balik je pun.. Tapi, bukannya apa, sebab kalau boleh taknak bawa balik kerja di pejabat ke rumah, kerana banyak lagi kerja hakiki tengah menunggu di luar sana. Semasa mesin rosak, banyak kali usaha untuk membetulkan sendiri mesin itu dilakukan. Lagaknya seperti tahu, tapi gaya tikus membaiki labu pun ada. Akhirnya mesin boleh digunakan semula, tetapi beberapa minit kemudian rosak semula berulang kali. Rasa bosan pun menerpa lalu diketuk-ketuk mesin tersebut dengan harapan agar berfungsi semula (jgn tiru cara ni). Tak selesai juga masalahnya.

Ketika itu, aku cuba kaitkan dengan D & T. Kadang-kadang kita terfikir, kenapalah orang kita dakwahkan tak berubah2? Dah puas dinasihati, ditegur, bahkan sehingga sampai tahap kita nak memarahi dia, tapi masih lagi tak berubah2. Dahulunya, aku selalu menasihati, tegur malah memarahi adikku yang seorang ini kerana selalu bermain games sepanjang hari. Sudah puas dinasihat, dimarahi tapi tak juga berubah-ubah.

Pada suatu hari, ketika diri ini membebel + memarahi dia, tiba – tiba dia menuturkan ayat yang menyebabkan aku terpana seketika, “ Rasulullah berdakwah pun, takdelah marah-marah macam ni kaklong.” Pada saat itu, jantungku seakan berhenti, kaki seakan-akan berpijak semula di alam nyata dan tidak semena-mena aku berasa malu yang amat. Pada ketika itu, adikku itu belum mengenali tarbiyah lagi, tapi mampu menuturkan ayat sebegitu rupa. Malam itu, aku muhasabah pada diriku, dan aku dapati, aku kurang berkomunikasi dengan mereka dari hati ke hati, bahkan setiap kali nak cakap saja, mesti rasa nak gaduh. Tapi, alhamdulillah, setelah mendapat pencerahan, hubungan kami semakin baik, bahkan saling meminta dan memberi nasihat antara satu sama lain. Itulah cantiknya tarbiyah.

Manusia berbeza dengan mesin. Mesin boleh diketuk-ketuk, tapi apabila berurusan dengan manusia, kena ada seninya, kena ada caranya. Di sinilah pentingnya dakwah fardhiah. Nak membentuk manusia bukannya mengambil masa sehari dua, mungkin berbulan-bulan, bahkan ada yang bertahun-tahun. Apa yang kita nak serukan, bukan setakat supaya si adik tidak bermain games lagi, tetapi menyeru mengenal Allah, mengesakan Allah dengan sebenar-benarnya, bukan setakat melafazkan sahaja di dalam solat. Yang penting kita buat kerja (dakwah) je dulu, jangan dok asyik nak tengok hasilnya. Apabila kita ghairah nak melihat hasil dan hasilnya tidak seperti yang diimpi, akan menyebabkan kita menjadi penat, bosan dan akhirnya taknak buat lagi.. Nau’zubillahi min zalik. Ingatlah, bahawa Allah tidak melihat pada hasil yang kita dapat, tapi Allah melihat apa usaha yang kita telah buat. Sebagai peringatan untuk diri sendiri dan semua, insya Allah..

~Tummuhat tarbiyah~


Followers